JOM SAMA-SAMA SELAMATKAN KUCING DIJALANAN

KUALA LUMPUR – Seorang wanita, yang menjadikan hobi mengambil kucing jalanan, merupakan antara tampil bersimpati dengan nasib artis teater, Nicole Ann Thomas bagi menyelamatkan 30 ekor sebelum 'dirampas' pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Pekerja swasta, Tengku Noraini Tengku Yusoff, 50-an, terpanggil untuk membantu Ann Thomas kerana kasihan dan memahami keadaan yang bakal dihadapi oleh sukarelawan. "Saya mengetahui Ann Thomas memerlukan tempat untuk menempatkan sementara kucing-kucingnya bagi mengelakkan haiwan itu dirampas ketika membeli makanan kucing di sebuah kedai haiwan baru-baru ini. "Saya kemudiannya menghubungi Ann Thomas dan menawarkan diri untuk mengambil kucingnya, sebanyak lima ekor," katanya ketika ditemui Sinar Harian Online di sini, petang tadi. Menurut Tengku Noraini, di rumahnya sendiri sudah ada 20 ekor kucing yang juga dikutip di jalanan, namun beliau masih tidak keberatan membantu Ann Thomas kerana jiwanya yang sayang dan kasihkan kucing memang tidak dapat dibendung. "Saya cuma membantu apa yang termampu. Lagipun rumah saya mempunyai laman yang luas dan saya tidak membenarkan kucing-kucing saya keluar dari kawasan rumah. "Saya puji sikap dan usaha yang Ann Thomas lakukan, tetapi bukan semua orang faham apa yang orang seperti kami lakukan," katanya yang tinggal Taman Tun Dr Ismail. Sementara itu, menurut Ann Thomas, selepas menghantar ke rumah Tengku Noraini, seterusnya beliau akan menghantar kucing-kucingnya ke rumah sukarelawan lain iaitu dua ekor di Mont Kiara, enam ekor di Subang dan Tropicana, serta lapan ekor di pusat jagaan haiwan di Klang. “Walaupun semalam adalah tempoh terakhir amaran DBKL kepada saya, tetapi saya masih mempunyai masa lagi kerana kebetulan semalam merupakan cuti umum dan hari ini saya akan selesaikan segera menyerahkan kucing-kucing ini kepada sukarelawan-sukarelawan yang sudi membantu. “Dua ekor lagi saya akan tempatkan sementara di sebuah klinik haiwan di sini kerana mereka menghidap demam selesema dan sakit mulut yang memerlukan rawatan berpanjangan," katanya. Menurut Ann Thomas, baki empat ekor lagi beliau akan simpan sahaja di rumah kerana mereka memang tidak biasa dengan orang kerana sudah dipelihara olehnya sejak kecil lagi. Sebelum ini, Sinar Harian Online melaporkan kisah Ann Thomas yang berhadapan dengan tindakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk 'mendermakan' kesemua 30 ekor kucingnya dan jika gagal berbuat demikian, kesemua kucing itu akan dirampas. Sejak berita disiarkan, kata Ann Thomas, beliau telah menerima lebih 30 panggilan telefon daripada orang ramai yang berminat membantunya mengambil kucing-kucingnya. Ann Thomas sebelum ini memelihara 49 ekor kucing yang terbiar yang ditempatkan di rumahnya di Taman Tun Dr Ismail. Isnin lalu, DBKL memberikan tempoh seminggu kepada Ann Thomas untuk ‘mendermakan’ kesemua kucing itu dan jika beliau gagal, pihak berkuasa akan merampas kesemua haiwan kesayangannya itu. "Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Sinar Harian kerana menyiarkan kisah saya," katanya. Kepada sesiapa yang ingin membantu sila hubunginya di talian 012-3211174....

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.